SEJARAH KAMPUNG TELUK KERANG
Pontian
ialah salah satu daerah di Johor, Malaysia yang terletak 62 kilometer dari
Pusat Bandaraya Johor Bahru, ibu negeri Johor. Ibu daerah Pontian ialah Pontian
Kechil. Kebanyakan kawasan di sini adalah terdiri daripada paya bakau. Pontian
diduduki oleh kaum Melayu yang berketurunan suku Melayu, Bugis dan Jawa. Melayu
dan Bugis di kawasan pesisiran manakala Jawa di kawasan pedalaman. Kebanyakan
Cina di Pontian adalah berketurunan Teochew. Perkataan Pontian dikatakan
berasal dari kata ‘Perhentian’.
Perhentian
yang dimaksudkan itu ialah Sungai Pontian Besar iaitu tempat berteduh dari
gelora Selat Melaka bagi kebanyakan para pelayar yang hendak ke Singapura atau
ke Melaka. Ada yang menyebutnya sebagai tempat perhentian para lanun untuk
menunggu mangsa yang melintasi kawasan tersebut. Walau bagaimanapun, kuala
Sungai Pontian Besar adalah tempat perhentian nelayan memunggah tangkapannya,
sementara Pontian Kecil menjadi bandar utama bagi daerah Pontian.
Kampung
Teluk Kerang bermula sejak tahun 1864 dengan penghijrahan sekumpulan tujuh
orang penduduk dari Sumatera, Indonesia yang diketuai oleh Haji Ibrahim. Beliau
telah memilih kawasan satu kilometer dari telok untuk dijadikan kawasan
penempatan yang baru dan menamakan kawasan tersebut dengan nama Kampung Lama.
Di kampung itulah beliau menjadi ketua dan setelah kampung lama dibuka, ramai
penduduk tempatan mula berhijrah ke kawasan ini.
Kawasan ini mempunyai pantai
bertelok yang menghadap ke Selat Melaka. Terdapat banyak kerang membiak dan ini
menyebabkan kawasan tersebut terkenal dengan kerangnya sehingga akhirnya
kampung ini dinamakan Teluk Kerang. Seterusnya, beberapa kampung lain yang
berhampiran Kampung Teluk Kerang turut dibuka sebagai penempatan baru seperti
kampung Parit Wer dan Kampung Parit Sulaiman